|

Syukur Alhamdulillah,
dengan izin-Nya dapat kita bersama-sama hadir di majlis yang sememangnya telah
sekian lama kita nanti-nantikan. Transisi Lembaga Akreditasi Negara (LAN) ke
Agensi Kelayakan Malaysia (Malaysian Qualifications Agency, MQA) adalah
suatu perkembangan yang bersejarah dalam evolusi pendidikan tinggi negara.
Sebagaimana yang dinyatakan oleh Dato’ Syed Ahmad
Hussein sebentar tadi, usaha membangunkan Kerangka Kelayakan
Malaysia (Malaysian Qualifications Framework, MQF) dan
Rang Undang-undang MQA telah mengambil masa yang panjang
dan telah melibatkan semua pihak yang mempunyai
kepentingan dalam pendidikan tinggi negara.
Beberapa siri bengkel dan seminar telah diadakan sejak 2002 lagi
untuk mendapatkan kemuafakatan nasional tentang kerangka
kelayakan kebangsaan sebagai rujukan mengenai reka bentuk
pengajian tinggi negara. Bermula dengan Seminar Kajian Awal
Kelayakan-kelayakan Pendidikan Tinggi di Malaysia yang
dianjurkan oleh LAN pada 26 Februari 2002, ia diikuti pula
dengan siri konsultasi nasional dan percambahan fikiran yang
meluas di bawah seliaan bersama LAN dan Bahagian Jaminan
Kualiti, Kementerian Pengajian Tinggi sepanjang 2004 – 2005.
Pada
21 Disember 2005, Kabinet telah merestui pelaksanaan MQF dan
|
penubuhan MQA melalui gabungan LAN dan Bahagian Jaminan Kualiti,
Kementerian Pengajian Tinggi. Kabinet juga mengarahkan agar akta
yangberkaitan dibawa untuk kelulusan Parlimen dan akta-akta lain
dipinda di mana perlu untuk menyokong penubuhan MQA dan
pelaksanaan MQF.
Sesungguhnya pembangunan MQF dan penubuhan MQA telah dirancang
dengan teliti dan dengan konsultasi yang menyeluruh untuk
memastikan agar pelaksanaan MQF akan diterima ramai. Ini penting
kerana kita mahu ia memberi manfaat yang langsung kepada nilai
dan kualiti pengajian tinggi Malaysia dan kepada pembangunan
modal insan dan kemajuan negara.
Pada
hari ini, secara rasminya kita kini memiliki sebuah agensi
tunggal yang akan menyelia dan menyelaras jaminan kualiti dan
akreditasi pendidikan tinggi negara baik bagi sektor awam
mahupun swasta. Pada masa yang sama, kita juga memiliki satu
kerangka kelayakan rasmi yang menyatupadu dan mengklasifikasikan
secara teratur dan rapi semua kelayakan pengajian tinggi negara.

Harus
saya tekankan di sini bahawa MQA bukan menggantikan LAN.
Penubuhan MQA juga bukan satu rebranding exercise atau
menjenamakan semula LAN. MQA adalah satu kesinambungan,
pengembangan dan pengluasan fungsi, tanggungjawab dan tugas
jaminan kualiti dan akreditasi pengajian tinggi yang telah
dilaksanakan oleh LAN sejak 10 tahun lalu.
LAN
telah berjaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan cemerlang.
Secara peribadi saya melihat tiga kejayaan penting yang dicapai
oleh LAN di bawah kepimpinan empat orang Pengerusi/Ketua
Eksekutifnya bermula dengan Profesor Dato’ Dr. Mohamed Suleiman,
Profesor Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, dan Profesor Tan Sri Mohamed Salleh Mohamed Yasin
hinggalah ke era pimpinan Dato’ Dr. Syed Ahmad Hussein bermula Julai tahun ini. |
·
Pertama, LAN telah berjaya membersihkan sistem
pendidikan tinggi swasta daripada beberapa unsur tidak sihat
yang mencemar kualiti. Misalnya amalan menganugerahkan diploma
dalam tempoh sesingkat enam bulan atau penawaran program tanpa
persiapan yang mencukupi. Seiring itu juga, LAN telah membina
asas-asas utama kepada kerangka kelayakan kebangsaan melalui
pelaksanaan jam kredit minimum dan pembentukan piawaian dan
kriteria serta penetapan ciri-ciri khusus dan wajib bagi
kelayakan di setiap peringkat sijil, diploma dan ijazah.
·
Kedua, kegigihan LAN membangunkan sistem jaminan
kualiti mengikut cara kita sendiri yang setanding dengan amalan
bijak antarabangsa. Saya sangat sedar tentang penglibatan aktif
LAN dalam perbicaraan kualiti (quality conversations) di
forum-forum antarabangsa dan sering menjadi rujukan kepada
negara-negara di rantau ini yang berusaha membangunkan sistem
jaminan kualiti dan kerangka kelayakan kebangsaan masing-masing.
·
Ketiga, kesungguhan LAN menanamkan budaya kualiti
di kalangan IPTS dan menimbulkan kesedaran masyarakat tentang
kepentingan kualiti. Harus diingat bahawa LAN adalah antara
agensi jaminan kualiti pengajian tinggi yang terawal ditubuhkan
di rantau Asia Pasifik. Dalam sepuluh tahun ia beroperasi, LAN
telah menimba pengalaman dan mematangkan dirinya dalam arena
jaminan kualiti, dan dalam proses itu membantu mematangkan sama
IPTS yang menjadi client utamanya.
Teks penuh >>
|